fb fb fb fb fb

Had laju di jalan persekutuan dikurangkan 10 kilometer sempena Aidilfitri

Foto facebook Kementerian Kerja Raya

KUALA LUMPUR, 2 April- Sempena perayaan Aidilfitri had laju di jalan persekutuan di seluruh negara dikurangkan 10 kilometer sejam (km/j) bermula 8 hingga 14 April.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan berkata, sepanjang tempoh itu, had laju di jalan persekutuan diturunkan kepada 80km/j berbanding 90km/j.

Pengurangan sementara had laju selama seminggu merupakan langkah keselamatan dan pemantauan diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan selain mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Dalam masa sama pihak konsesi jalan persekutuan juga diberitahu untuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal mulai 5 hingga 14 April supaya tidak mengganggu aliran trafik kecuali bagi kerja-kerja menampal lubang, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan.

"Bagi lebuh raya pula, syarikat konsesi tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula dari 1 hingga 17 April 2024.

"Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR serta pendekatan seluruh rakyat dan negara untuk semua pihak termasuk rakyat bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan terutama di jalan persekutuan," kata kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI