Hab latihan TVET bersepadu: Pemangkin kecemerlangan peserta WSMB 2026

Pengarah Bahagian Promosi, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) KESUMA, Molinda Abdul Rahman

KLANG, 29 April– Pembangunan hab latihan untuk sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersepadu kini menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh persediaan peserta WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sinergi KESUMA, industri dan NGO menyediakan latihan amali berasaskan situasi sebenar industri kepada peserta.
  • Fasiliti dan kelengkapan memenuhi piawaian industri serta antarabangsa, menjadikan suasana latihan setanding realiti industri.
  • Hab menumpukan teknologi berimpak tinggi seperti pembuatan pintar, IoT dan kenderaan elektrik bagi sokong kurikulum serta upskilling.

Inisiatif itu mempamerkan sinergi antara Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), pemain industri dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyediakan latihan amali berasaskan situasi sebenar industri kepada para peserta.

Pengarah Bahagian Promosi, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) KESUMA, Molinda Abdul Rahman berkata hab latihan berkenaan penting bagi memastikan latihan selari dengan standard antarabangsa, selain sebagai persediaan menghadapi WSMB pada September depan di Shanghai, China.

“Tapak ini dilengkapi kemudahan fasiliti, kepakaran, dan kelengkapan pertandingan yang memenuhi piawaian industri. Matlamat kita adalah supaya suasana pertandingan ini setanding dengan realiti industri serta standard di peringkat antarabangsa, sama ada di ASEAN, Asia mahupun WorldSkills,” jelas Molinda.

Mengulas persiapan WSMB 2026, Molinda memaklumkan persediaan rapi kini giat dijalankan bagi mempersiapkan peserta dalam kesemua 22 bidang yang bakal dipertandingkan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Aizuddin Ghazali menyifatkan hab latihan bersepadu tersebut sebagai titik pertemuan strategik antara kerajaan, industri, dan pakar dalam melahirkan bakat TVET yang berkualiti tinggi.

“Sebelum melangkah ke WorldSkills Malaysia Belia, para pelajar bukan sahaja didedahkan dengan teori, malah menjalani latihan praktikal bersama pakar daripada pihak industri dan kerajaan. Di sinilah hab yang menyatukan semua pihak bagi memastikan segala pembelajaran teori dapat dipraktikkan sepenuhnya,” ujarnya.

Katanya, inisiatif itu turut menyediakan latihan praktikal kepada pelajar sekolah, penuntut IPT, dan tenaga kerja industri, selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot turut hadir merasmikan Majlis Road to WorldSkills Malaysia Belia Training Camp di Meru, Klang itu.

Hab latihan tersebut memfokuskan teknologi berimpak tinggi seperti pembuatan pintar, IoT, dan kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong pembangunan kurikulum serta program peningkatan kemahiran (upskilling).

Fasiliti berkenaan turut diiktiraf sebagai Pusat Akademi oleh Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) dan mendapat sokongan pelbagai institusi termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).