
KANGAR, 22 Julai – Penyelidik dan pakar akademik daripada 20 institusi pendidikan tinggi di seluruh negara menerima manfaat Geran Penyelidikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) Fasa 3 bagi tahun 2026.
- Geran keseluruhan lebih RM200,000 membiayai penyelidikan berkaitan asnaf.
- Sebanyak 49 geran diperuntukkan meliputi 13 tema termasuk pengurusan zakat, wakaf, AI, pendidikan digital dan TVET.
- Hasil penyelidikan akan diterbitkan dalam jurnal berindeks dan prosiding buku untuk sokong pemberdayaan asnaf serta kecemerlangan pendidikan.
Geran dengan nilai keseluruhan lebih RM200,000 itu membolehkan mereka melaksana penyelidikan berkaitan asnaf.
Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, sebanyak 49 geran diperuntukkan dalam fasa berkenaan.
“Geran-geran ini akan membantu pusat kajian asnaf yang sedang kita bangunkan. Kita percaya golongan asnaf memerlukan sokongan daripada pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memperkasa mereka,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Pra-Pusat Penyelidikan Asnaf FCoEE-MAIPs, Peluncuran Buku dan Penganugerahan Geran Penyelidikan FCoEE-MAIPs Fasa 3 bagi Tahun 2026 di sini.
Majlis itu disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Jelas Prof Emeritus Datuk Dr Kamaruddin, penyelidikan berkenaan merangkumi 13 tema utama, antaranya pengurusan zakat dan wakaf, kecerdasan buatan (AI) dan digital, pendidikan digital serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Setiap penyelidikan berupaya menghasilkan data berkualiti yang boleh dijadikan rujukan utama selaras dengan Pelan Strategik FCoEE 2026 hingga 2030.
“Hasil penyelidikan itu akan diterbitkan dalam jurnal berindeks dan buku prosiding untuk rujukan umum, selain menyokong usaha memperkasa kecemerlangan pendidikan serta pemberdayaan asnaf di Perlis,” jelasnya.