
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Sejarah dan keunikan Kampung Bharu perlu difahami secara mendalam oleh generasi muda sebelum sebarang pembangunan dilaksanakan bagi mengelakkan konflik sosial serta kehilangan nilai warisan Melayu di tengah ibu negara.
- Generasi muda mesti mendalami sejarah Kampung Bharu untuk melindungi nilai warisan Melayu.
- Fahami latar pemilikan tanah kompleks sebelum melaksana pembangunan untuk elak konflik sosial.
- Pendidikan sejarah menjadikan belia pejuang menjaga warisan daripada naratif yang salah.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kawasan seluas kira-kira 230 ekar itu mempunyai latar belakang pemilikan tanah yang kompleks dan melibatkan generasi keempat serta kelima penduduk asal.
Ini sekali gus, menjadikan proses pembangunan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.
“Mereka (generasi muda) perlu memahami sejarah sesuatu tempat,memahami kehidupan masyarakat yang ada di dalam kawasan ini. Maka mereka lebih faham serta akan menjadi pejuang kepada sejarah-sejarah yang akan ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin masa kini dan masa akan datang.
“Kalau mereka tidak faham sejarah. Maka berlakulah proses pembangunan yang sedemikian rupa. Di Sungai Bharu ini kerana kekurangan kefahaman oleh pemimpin termasuk belia-belia. Kadang mereka akan terikut-ikut mengikut orang punya naratif yang dia sendiri tidak faham,” katanya ketika ditemui di program Sentuhan Ramadan, di Madrasah Rajaiyah, Kampung Bharu.
Program tersebut merupakan majlis Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk, Sumbangan Cermin Mata Belia Sekolah serta Majlis Berbuka Puasa.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabran Abd Bahar.
Dalam program itu, seramai 200 sukarelawan belia memeriahkan program pada hari ini.