Festival Budaya Malaysia tarik 772,192 pengunjung, jana ROI RM56.5 juta

Datuk Seri Tiong King Sing

KUALA LUMPUR, 13 September – Penganjuran Festival Budaya Malaysia (FBM) berpotensi menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi melalui penglibatan pemain industri pelancongan, peningkatan aktiviti perniagaan serta pembukaan lebih banyak peluang pendapatan kepada komuniti setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • FBM 2026 menarik 772,192 pengunjung, menunjukkan sambutan kuat terhadap seni, budaya dan warisan negara.
  • Penganjuran di Kuala Lumpur, Johor dan Perak menjana ROI RM56.5 juta, menyumbang pemulihan ekonomi sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.
  • Kementerian menyeru kerjasama negeri, menaik taraf destinasi dan sambut pelancong dengan semangat Mesra Malaysia untuk imej serta pengalaman pelawat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, buktinya pulangan pelaburan (ROI) bernilai RM56.5 juta berjaya dicapai menerusi penganjuran di Kuala Lumpur dan Johor pada 2025 dan Perak baru-baru ini.

Seramai 772,192 pengunjung menghadiri ketiga-tiga penganjuran festival itu, sekali gus membuktikan sambutan terhadap seni, budaya dan warisan negara terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

“Penganjuran festival ini mewujudkan peluang ekonomi kepada rakyat, termasuk pengusaha makanan tempatan, pemandu pengangkutan, penggiat seni, usahawan kecil dan artisan kraf,” katanya.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan cuba sedaya upaya mencari peruntukan bagi membantu negeri-negeri menaik taraf destinasi sedia ada serta mewujudkan destinasi baharu untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Budaya Malaysia 2026 di Taman Tasik Titiwangsa di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu, kerjasama antara semua negeri penting bagi memperkukuh daya tarikan pelancongan Malaysia serta memastikan lebih ramai pelancong berkunjung ke destinasi di seluruh negara.

Pelbagai acara disediakan sepanjang FBM 2026 di Taman Tasik Titiwangsa yang bermula pada 11 hingga 16 September ini antaranya persembahan seni tradisional, pameran budaya serta pengenalan keunikan warisan dari seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027 (VM2026-2027), layanan mesra serta pengalaman yang dibawa pulang pelancong menjadi sebahagian daripada imej Malaysia di mata dunia.

“Saya menyeru rakyat supaya menyambut pengunjung dengan semangat Mesra Malaysia, selain menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran serta menjadi duta kecil negara dalam memperkenalkan keunikan Malaysia,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.