Fahami hala tuju RPM 2026–2035 sebelum bergelar pendidik

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 September – Bakal guru perlu memahami hala tuju sebenar mengenai Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 sebelum bergelar sebagai pendidik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kefahaman agenda pendidikan negara perlu diterap awal semasa pengajian di Institut Pendidikan Guru bagi menyelar penerapan dasar dalam amalan pengajaran.
  • Dasar dan perancangan kerajaan mesti diterjemahkan berkesan ke dalam bilik darjah untuk memastikan impak langsung terhadap pengalaman pembelajaran murid.
  • Bakal pendidik, walau masih memantapkan kompetensi, perlu didedah awal kepada transformasi pendidikan dan bukan sekadar melaksanakan dasar.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kefahaman terhadap agenda pendidikan negara perlu diterap di peringkat awal khususnya semasa mereka mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Langkah itu penting bagi memastikan dasar dan perancangan yang dirangka kerajaan dapat diterjemahkan secara berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Apa jua rancangan yang kita rangka di Putrajaya, akhirnya akan hidup atau mati di dalam bilik darjah, di tangan guru yang berdiri di hadapan anak-anak kita.

“Generasi pendidik baharu perlu didedahkan lebih awal kepada hala tuju transformasi pendidikan negara sebelum melangkah ke alam persekolahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan bakal pendidik yang menyertai Program Tekad Reformasi Pendidikan (TEKAD) di IPG Tengku Ampuan Afzan, Pahang.

Tambahnya, meskipun bakal pendidik ketika ini masih dalam proses memantapkan kompetensi dan pedagogi, mereka merupakan kelompok yang bakal memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi pendidikan negara untuk tempoh sedekad akan datang.

“Beberapa tahun lagi, bakal pendidik inilah yang akan berada di hadapan kelas dan mengubah sebuah rancangan pendidikan menjadi pengalaman sebenar seorang anak,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fadhlina turut menegaskan, peranan pendidik dalam menjayakan RPM 2026–2035 bukan sekadar melaksanakan dasar, tetapi memastikan aspirasi yang digariskan dapat diterjemahkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, sekali gus memberi kesan langsung kepada murid.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.