
KUALA LUMPUR, 13 September – Pesta Tanglung Kebangsaan 2026 bukan sekadar sambutan budaya, malah menjadi lambang perpaduan yang menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.
- Warisan budaya mampu menjadi jambatan mengeratkan keharmonian masyarakat majmuk.
- Ramai peserta daripada pelbagai kaum dan agama mengambil bahagian dengan semangat keterbukaan.
- Program merangkumi tarian naga dan singa, aktiviti tanglung serta program mesra keluarga di Jalan Petaling.
- Cadangan menjadikan Jalan Petaling sebagai Food Street akan dibincang bersama DBKL; pemilik dan peniaga diminta bekerjasama.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata sambutan di Jalan Petaling itu membuktikan warisan budaya mampu menjadi jambatan yang mengeratkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
“Hari ini, saya sangat gembira melihat ramai orang daripada pelbagai kaum dan agama menyertai festival ini. Kita mesti sentiasa menyedari bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum dan berbilang agama.
“Kita patut melihat budaya dan tradisi kita dengan lebih terbuka serta memahami ia boleh dikongsi bersama dengan semua orang,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Tanglung Kebangsaan 2026 di sini.
Sambutan yang bermula seawal pukul 4 petang tadi dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan pelbagai kaum, termasuk tarian naga dan singa, aktiviti tanglung serta program mesra keluarga di destinasi ikonik Kuala Lumpur itu.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Tiong mencadangkan Jalan Petaling dibangunkan sebagai Food Street iaitu kawasan pelancongan berasaskan makanan dan budaya yang lebih tersusun serta menarik.
Beliau berkata perbincangan akan diadakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meneliti cadangan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemilik premis, peniaga dan semua pihak berkepentingan bekerjasama menjayakan inisiatif tersebut bagi memperkukuh industri pelancongan negara serta mengangkat Jalan Petaling sebagai antara tarikan utama di ibu negara.