fb fb fb fb fb

Fasa ke-2 JENDELA, libatkan penyesuaian teknologi baharu

Foto RTM

KUCHING, 24 Mei- Pelaksanaan fasa kedua program Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan mengguna pakai penyesuaian teknologi bagi menghubungkan lebih 2,700 komuniti seluruh negara dengan dunia digital.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata terdapat keperluan untuk penyesuaian kepada teknologi baharu kerana fasa kedua JENDELA akan melibatkan topografi yang lebih mencabar selain kawasan yang lebih terpencil.

Antaranya ialah teknologi “Free Space Optical Communication” yang telah mula digunakan oleh Telekom Malaysia.

"Pada masa itu, mungkin ada teknologi-teknologi baharu muncul, yang boleh kita manfaatkan. Sebagai contoh, di beberapa lokasi, pihak seperti Telekom Malaysia (TM) telah memanfaatkan teknologi yang bernama "Free Space Optical Communication". Ia tidak perlu pasang kabel gentian optik. Namun, hanya boleh digunakan dalam lingkungan dua kilometer."

"Ini banyak membantu untuk merentasi sungai, kawasan tertentu dan juga pulau," kata Fahmi kepada pemberita dalam Majlis Menandatangani Perjanjian SMART 600 Multi Operator Core Network (MOCN), di sini.

Majlis disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi mewakili Premier Sarawak.

Selain itu, kementerian juga melihat kepada teknologi lain seperti satelit Starlink bagi penyediaan internet berkelajuan tinggi tanpa bergantung harap kepada kabel gentian optik yang sering melibatkan masalah izin lalu.

Turut dipertimbangkan penggunaan satelit sebagai menara telekomunikasi untuk penyediaan internet "direct to sale" atau "direct to device".

Perjanjian tersebut melibatkan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan CelcomDigi Berhad, Maxis Broadband Sendirian Berhad, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd untuk menyediakan jaringan internet menggunakan '6-way MOCN' kepada penduduk pedalaman menerusi projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecomunication SMART.

Sementara itu, sebanyak 247 menara terlibat berjaya diaktifkan dengan menggunakan teknologi MOCN, setakat 15 Mei lepas.

Jelas Fahmi, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 600 menara telekomunikasi yang dirancang untuk dibina di Sarawak menerusi beberapa fasa yang dilaksana oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Kewangan dan syarikat telekomunikasi.

Sejumlah RM200 juta dana keseluruhan telah disediakan bagi memastikan kesemua menara tersebut dilengkapi teknologi berkenaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM