fb fb fb fb fb

Fahmi junjung kasih titah Agong tarik darjah kebesaran

Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 7 September- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan akan ditarik balik jika penerima terlibat dalam jenayah, mencemarkan nama negara atau dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Fahmi berkata titah itu menunjukkan kurniaan tersebut hanya diberikan kepada individu yang benar-benar layak, selain mesej jelas bahawa mereka tidak kebal daripada undang-undang.

"Titah Tuanku adalah peringatan tegas kepada semua penerima, baik sekarang mahupun yang terdahulu, bahawa mereka mesti menjauhi serta membanteras rasuah.

"Jika didapati bersalah, darjah kebesaran akan ditarik balik," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Karnival Hari-Hari Bola 'Piala Madani' di Universiti Malaya, di sini.

Justeru Fahmi menambah darjah kebesaran tidak boleh diambil mudah atau dianggap kekal selamanya.

"Ini adalah peringatan yang sangat jelas walaupun seseorang pernah menerima anugerah tersebut, ia tidak bermakna mereka akan memilikinya selamanya, terutama jika terlibat dalam kesalahan jenayah," katanya.

Dalam pada itu Presiden Majlis Datuk Dato' Malaysia Datuk Awalan Abdul Aziz berkata titah tersebut adalah wajar bagi menjaga kemuliaan dan kebesaran pengiiktirafan yang dikurniakan.

"Ini penting untuk memastikan kemuliaan anugerah, darjah kebesaran, bintang, dan pingat dijaga dengan baik. Jika seseorang didapati bersalah atas jenayah tertentu, sudah tentu individu tersebut tidak lagi sesuai untuk memegang sebarang gelaran," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.

Dalam istiadat tersebut, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 116 penerima tahun ini.

SITI AISHAH MD ISA