KUALA LUMPUR, 6 Julai- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengucapkan tahniah kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11(1) atas kejayaan gemilang sebagai pemenang dalam Pertandingan Sekolah Sihat AIA (AIA Healthiest Schools Regional Awards).
Menerusi hantaran di facebook, beliau berkata SK Putrajaya Presint 11(1) berjaya menewaskan 2,300 sekolah lain dari seluruh Asia Pasifik untuk muncul sebagai juara dalam pertandingan tersebut dan membawa pulang hadiah berjumlah AS$100,000 (RM472,100).
"Kemenangan ini diumumkan dalam satu majlis berprestij yang berlangsung di Bali, Indonesia.
"Sekolah ini memenangi anugerah tersebut berkat inisiatif inovatif mereka, aplikasi mudah alih kesihatan HELPIE.
Beliau berkata aplikasi tersebut direka untuk meningkatkan kesejahteraan mental dalam kalangan pelajar, menyediakan alat untuk mengenal pasti dan mengurus tekanan, serta dilengkapi dengan permainan dan kempen kesihatan yang menarik.
"Tahniah sekali lagi kepada SK Putrajaya Presint 11(1) atas pencapaian cemerlang ini!
"Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, tetapi juga menjadi inspirasi kepada semua sekolah lain untuk terus berinovasi demi kesejahteraan pelajar", katanya.