KUALA LUMPUR, 15 Februari- 'Energy Stick' adalah sejenis produk yang berbahaya dan menjadi ancaman kesihatan kepada golongan remaja.
Pakar Perunding Perubatan Dalaman UiTM Pusat Pakar Swasta Dr Hafaruzi Harun berkata pihaknya bimbang dengan penjualan alat seperti vape atau rokok elektronik itu yang kini giat dipasarkan kepada orang ramai termasuk pelajar sekolah.
Jelasnya, kandungan cecair yang terdapat di dalam 'Energy Stick' tersebut akan membawa risiko berbahaya akibat bahan dan cara penggunaannya.
"'Energy stick' adalah satu kaedah penyalahgunaan bahan kimia yang tidak terkawal dan kita tidak tahu kandungan bahan kimia tersebut yang kerap atau ditujukan kepada anak-anak remaja dengan memberikan naratif yang tidak benar bahawa penggunaan 'energy stick' ini di sekolah, dapat meningkatkan prestasi di sekolah," katanya kepada pemberita menerusi rancangan terbitan RTM di sini.
Tambahnya, ibu bapa memainkan peranan penting dengan sentiasa mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan generasi muda terjebak dengan trend tidak sihat itu.
Sementara menurut Public Health Malaysia, 'Energy Stick' adalah produk penyedut hidung ('nasal inhaler') yang dipromosikan sebagai produk untuk memberikan tenaga dan kesegaran kepada pengguna.