fb fb fb fb fb

Enam motosikal dan kandang kambing musnah dalam kebakaran

Enam motosikal dan kandang kambing musnah dalam kebakaran/Foto RTM

TASEK GELUGOR, 15 Julai - Enam buah motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Air Melintas Besar, Tasek Gelugor, di sini awal pagi tadi.

Sebuah kandang kambing berkeluasan 20 x 30 kaki persegi turut musnah 80 peratus dalam kebakaran tersebut.

Pemilik bagaimanapun berjaya menyelamatkan kira-kira 20 ekor kambing yang ditempatkan di kandang tersebut.

Api turut merebak ke dua buah rumah berhampiran membabitkan kerosakan di bahagian dapur dan ruang tamu masing-masing antara 20 hingga 30 peratus.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohamad Yazi Taib berkata, pasukan bomba dari Balai Tasek Gelugor bersama bantuan Balai Kepala Batas dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada pukul 6.00 pagi.

Operasi itu, turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan Pasukan Bomba Sukarela Kampung Selamat.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.49 pagi dan dipadam sepenuhnya 20 minit kemudian.

Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN