KUALA NERUS, 14 Disember – Enam kru sebuah bot tunda dari Indonesia berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka dihanyutkan ombak kuat selepas mengalami kerosakan enjin di perairan Terengganu, hari ini.
Bot tunda berkenaan dilaporkan terdampar di kawasan pembinaan pemecah ombak Kampung Tanjung Batu Rakit, Kuala Nerus.
Kapten bot tunda, Letaremon Simanjuntak, 33, berkata mereka memulakan pelayaran dari Pelabuhan Songkhla, Thailand menuju ke Punggol, Singapura sejak Rabu lalu, dengan membawa muatan pasir, yang dijadualkan mengambil masa kira-kira tujuh hari untuk tiba di destinasi.
Namun, ketika memasuki perairan Terengganu sekitar pukul 11 pagi, bot tunda tersebut mengalami kerosakan secara tiba-tiba pada bahagian enjin.
Kapten bot tunda, Letaremon Simanjuntak/Foto RTM
“Sekitar pukul 10 pagi cuaca sudah mula tidak elok dan ombak semakin tinggi. Bot ini hanya menggunakan satu enjin kerana enjin sebelah kiri telah rosak, kemudian enjin sebelah kanan pula mengalami kerosakan. Selepas itu kami dihanyutkan ombak hingga ke kawasan ini,” katanya.
Dalam kejadian itu, tiga kru terjun dan berenang ke tempat selamat, manakala tiga lagi berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar berkata tiga kru berkenaan dikeluarkan menggunakan kaedah tali yang dipasang pada bot dan diikat pada batu benteng pemecah ombak sekitar pukul 6.20 petang.
Operasi menyelamat yang bermula pada pukul 5.15 petang itu turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan daripada pihak kontraktor projek.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus, Azmi Omar/Foto RTM
“Jarak sebenar bot dari pantai kira-kira 50 meter. Pihak kontraktor menggunakan jengkaut untuk mengalihkan bot ke tepi pantai, dan dari tepi pantai ke bot sekitar 10 meter. Operasi menyelamat dijalankan menggunakan tali. Tiga mangsa keluar sendiri dengan berenang, manakala tiga lagi diselamatkan oleh pihak bomba,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak menghampiri kawasan kejadian bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan memandangkan keadaan ombak yang kuat.
Kesemua kru bot tunda berkenaan dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan dan akan dibawa menjalani pemeriksaan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan.