fb fb fb fb fb

El Nino semakin lemah, La Nina bakal bermula

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 15 April- Fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negara ketika ini semakin lemah dan dijangka bertukar kepada fasa neutral sekitar Mei atau Jun depan.

Menurut Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Dr Ahmad Fairudz Jamaluddin, fasa sejuk atau La Nina pula dijangka bermula sekitar Ogos dan September.

La Nina juga boleh menyebabkan curahan hujan meningkat dan memberi kesan terhadap alam sekitar

Jelas beliau, fenomena El Nino yang melanda dunia dengan intensiti kuat yang bermula sejak Disember tahun lepas menyebabkan negara mengalami peningkatan sekitar 0.5 hingga 1.5 darjah selsius.

Bagaimanapun, kini beberapa kawasan mengalami 'inter monsun' yang menerima hujan pada petang atau malam.

"Kita dah masuk 'inter monsun' atau musim peralihan monsun. Secara amnya, cuaca di sebelah pantai barat Semenanjung akan menerima lebih hujan pada petang atau malam, tetapi tidak di kawasan pantai timur Semenanjung.

"Kita menjangkakan suhu akan melebihi 35 darjah selsius ini akan terus berlaku pada bulan April dan Mei terutama di negeri-negeri pedalaman Pahang seperti Jerantut, Raub dan juga pedalaman Kelantan seperti Gua Musang.

"Insya-Allah di negeri-negeri pantai barat, keadaan ini akan beransur-ansur baik," katanya ketika ditemui pemberita RTM selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, sini.

Beliau berkata, pembenihan awan di beberapa kawasan turut dilaksanakan untuk meningkatkan paras air empangan bagi kegunaan domestik dan pertanian, sekali gus menurunkan suhu.

Pada 27 dan 28 Februari lepas, pembenihan awan dilakukan untuk meningkatkan paras empangan di Bukit Merah, Perak; Teluk Bahang dan Teluk Air Itam, Pulau Pinang.

Pembenihan awan untuk tujuan sama turut dibuat di tiga kawasan di Sabah iaitu Papar, Lahad Datu dan Tawau pada 28, 29 dan 30 Februari.

SITI AISHAH MD ISA