KUALA LUMPUR, 6 Februari - Satu jawatankuasa penyelarasan akan ditubuhkan bagi menguruskan pencetakan dan pengedaran sejuta naskhah al-Quran ke seluruh dunia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menerajui jawatankuasa tersebut dalam merealisasikan hasrat Perdana Menteri sebagai tindak balas Malaysia terhadap pembakaran kitab suci itu di Sweden baru-baru ini.
"YAB Perdana Menteri mengatakan hasrat beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diamanahkan untuk perkara ini. Jadi, setakat yang saya boleh maklumkan, kita baru bentuk jawatankuasa dan jawatankuasa inilah yang akan diketuai oleh JAKIM dan melihat usaha-usaha mencari dana dan kemudian pusat percetakan dan juga untuk mengagihkan al-Quran itu tadi," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan pelan pembangunan komuniti setempat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPIEM), di sini hari ini.
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ditemu bual
media selepas melancarkan pelan pembangunan komuniti setempat Yayasan Pembangunan
Ekonomi Islam (YaPIEM) di Kuala Lumpur)
Sebelum ini Perdana Menteri mahukan pendekatan berfaedah diambil sebagai langkah menyebarkan kefahaman mengenai al-Quran bagi membantah Islamophobia dan akan mengusulkan cadangan sama kepada setiap ketua negara Islam di seluruh dunia.
Pada majlis tersebut, Mohd Naim telah menyampaikan sumbangan dan barang keperluan dapur kepada golongan asnaf dan rentan.