fb fb fb fb fb

Dua kes COVID-19 dikesan di PPS Johor

Foto Hiasan

JOHOR BAHRU, 10 Januari- Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesan dua kes positif COVID19 melibatkan penduduk terjejas banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

EXCO Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dalam kenyataannya berkata, satu kes dikesan di Mersing manakala satu kes lagi dikesan semalam di Pontian.

Beliau berkata, ia susulan saringan COVID-19 yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melibatkan 938 penduduk terjejas banjir dan mereka yang dikesan positif ditempatkan di bilik berasingan dengan dipantau pasukan perubatan dan kesihatan.

“Sementara itu, 61 kes penyakit berjangkit dikesan melibatkan 53 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), dua kes konjunktivitis dan masing-masing tiga kes penyakit kulit dan gastroenteritis akut (AGE) dalam kalangan mangsa banjir di seluruh negeri.

“Saya ingin menasihatkan mangsa terjejas menjauhi air banjir atau air tercemar, di samping kerap basuh tangan dan sentiasa menjaga kebersihan diri bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit,” katanya.

Beliau yang turut meluangkan masa melawat PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya di Pontian semalam, memaklumkan tiga klinik fasiliti di Kota Tinggi, iaitu Klinik Desa Semanggar, Klinik Desa Batu 4 dan Petri Jaya yang terjejas banjir sudah kembali beroperasi.

ZEHRA BINTI ZAMBRI