
BUKIT KATIL, 16 Ogos – Akta baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu bebas daripada sebarang elemen yang mengongkong dan menyekat mahasiswa.
- Undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan termasuk kekerasan dan jenayah.
- Tiada keperluan akta tambahan semata-mata untuk mengawal atau menyekat mahasiswa.
- Perdana Menteri umumkan AUKU dimansuhkan; pengganti mesti lebih baik dan tidak mengenakan tekanan.
- Fahmi tekankan penting laksanakan reformasi serta penambahbaikan hasil Kongres Nasional KEADILAN 2026 dengan sewajarnya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan, undang-undang sedia ada di negara ini sudah mencukupi untuk mengambil tindakan terhadap sebarang kesalahan termasuk melibatkan kekerasan atau jenayah.
Menurutnya, tiada keperluan untuk mewujudkan undang-undang tambahan semata-mata bagi mengawal atau menyekat mahasiswa.
“YAB Perdana Menteri telah mengumumkan AUKU akan dimansuhkan. Tadi Perdana Menteri ada maklumkan, apa-apa akta yang bakal menggantinya mesti lebih baik. Tiada sebarang tekanan akan dikenakan.
” Undang-undang sedia ada memang terpakai sekiranya berlaku apa-apa insiden. (Bagi kesalahan) kekerasan ataupun yang bersifat jenayah, undang-undang dalam negara mencukupi untuk mengambil tindakan. Jadi tak perlu ada undang-undang tambahan untuk menzalimi atau mengongkong golongan mahasiswa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan Program Ziarah Kasih di sini.
Tambah Datuk Seri Fahmi, perkara itu penting bagi memastikan usaha reformasi dan penambahbaikan yang dibangkitkan dalam Kongres Nasional KEADILAN 2026 dapat dilaksanakan dengan sewajarnya.