
SERDANG, 16 Ogos – Atlet Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan pelari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira masing-masing dinobatkan sebagai Raja dan Ratu Pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas memenagi acara 100 meter (m) lelaki dan wanita hari ini.
- Danish pertahankan emas 100m dengan catatan 10.27 saat, catatan terbaik musim ini.
- Berdepan tekanan dan false start, Danish kawal diri dengan selawat sebelum perlumbaan dimulakan semula.
- Izzatul raih emas 100m dengan masa 11.73s, tebus kekecewaan perak SUKMA 2024 dan bangkit selepas kecederaan.
Danish mengukuhkan statusnya sebagai Raja Pecut SUKMA apabila mempertahankan pingat emas 100m lelaki dengan catatan catatan 10.27 saat (s)buat kali kedua selepas edisi di Sarawak pada 2024.
Beliau mengakui kejayaan kali ini lebih istimewa kerana terpaksa berdepan barisan pelari terbaik negara selain tekanan tinggi untuk mempertahankan gelaran.
“Aksi pertama saya di SUKMA saya sebagai underdog, tetapi kali ini banyak tekanan dan alhamdulillah saya berjaya mengatasinya,” katanya.
Pelari muda itu turut berkata catatan yang dilakukannya hari ini juga merupakan catatan terbaik musim ini, dengan sokongan penonton dan saingan daripada pencabar lain menjadi pembakar semangat untuknya.
Danish bagaimanapun masih menyimpan misi untuk memecahkan rekod SUKMA milik Khairul Hafiz Jantan, iaitu 10.18 saat yang dilakukan pada edisi 2016 di Sarawak.
“Saya memang sasarkan rekod itu sebelum habis umur 21 tahun dan saya masih ada satu lagi SUKMA. Insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.
Aksi akhir itu turut menguji mental Danish selepas berlaku ‘false start’, namun dia berjaya mengawal diri sebelum perlumbaan dimulakan semula.
“Saya hanya berselawat untuk kawal diri dan fikir yang tiada ruang untuk buat kesilapan dalam pertandingan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira muncul Ratu Pecut SUKMA 2026 selepas meraih emas 100m wanita dengan catatan masa 11.73s, sekali gus menebus kekecewaan meraih
perak pada SUKMA 2024.
Atlet Terengganu itu berkata kejayaan tersebut cukup bermakna selepas melalui perjalanan sukar termasuk kecederaan.
“Walaupun perjalanan sebelum ini ada jatuh bangun, hitam putih, pahit manis segalanya, saya bangga dengan pencapaian hari ini,” katanya.