
BATU PAHAT, 16 Ogos – Umat Islam diingatkan sentiasa menjaga adab dan akhlak serta menjauhi perbuatan tidak bermoral lebih-lebih lagi di rumah ibadat seperti masjid dan surau.
- Masjid dan surau ialah tempat suci yang mesti dihormati serta dipelihara kesuciannya.
- Setiap perbuatan akan dihisab oleh Allah SWT; kita bertanggungjawab atas tindakan sendiri.
- Kes cubaan perlakuan tidak bermoral di bilik pengurusan jenazah Melaka menuntut pematuhan undang-undang dan akhlak.
- Kementerian giat beri pencerahan, bimbingan dan kempen media sosial untuk memupuk akhlak serta memperkukuh institusi keluarga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, masjid dan surau merupakan tempat suci yang perlu dihormati serta dipelihara kesuciannya.
“Ingatlah apa yang kita lakukan walaupun apa pun akan dilihat oleh Allah SWT. Kita tak dapat lari. Semua kesalahan apa yang kita lakukan akan dihisab oleh Allah SWT.
“Jadi kepada semua jagalah adab, jagalah akhlak dan juga patuhlah undang-undang, ” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Sukan Peguam Syarie (SUKPES) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes bekas siak dan seorang pekerja pembersihan didakwa cuba melakukan persetubuhan haram di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Bukit Piatu, Melaka, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli memaklumkan pihaknya kini giat memberi pencerahan, meningkatkan kesedaran serta membimbing masyarakat mengenai pematuhan syariah dan pembentukan akhlak merangkumi golongan muda hingga warga emas.
Usaha itu dilaksanakan menerusi pelbagai program di masjid dan surau selain kempen di media sosial, termasuk bagi memperkukuh institusi kekeluargaan.