KUANTAN, 22 Ogos - Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan selamat selepas pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang mereka pandu terbabit dalam kemalangan di Pangkalan Udara Kuantan, malam tadi.
Kedua-dua juruterbang tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dengan menggunakan ambulans Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menerima rawatan lanjut di Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pesawat berkenaan mengalami kemalangan ketika cuba berlepas.
Dalam kenyataan berasingan, TUDM menjelaskan insiden berlaku pada pukul 9.05 malam di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah, Kuantan.