DSA & NATSEC ASIA 2026: Malaysia teguh platform neutral, teknologi jadi teras pertahanan masa depan

DSA & NATSEC Asia 2026 terbuka kepada semua negara/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 19 April Penganjuran Defence Services Asia (DSA) & NATSEC Asia 2026 dijamin berlangsung dengan lancar, walaupun berdepan cabaran geopolitik dan ketidaktentuan global ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menegaskan DSA sebagai platform neutral dan terbuka, menghimpunkan negara dari pelbagai blok serta memperkukuh pendirian berkecuali.
  • Teknologi dijadikan teras keupayaan pertahanan masa depan melalui tema DSA serta segmen baharu untuk startup dan inovator.
  • Kerajaan sokong industri tempatan dengan 30 peratus komponen tempatan, program ICP dan penekanan aset praktikal kos efektif serta MRO.

Keyakinan tersebut dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, tinjauan akhir menerusi sesi walkabout mendapati semua persiapan berada pada tahap memuaskan menjelang majlis perasmian esok.

Menurutnya, edisi ke-19 DSA kali ini mengangkat tema ‘Enhancing Capabilities and Resilience through Technology’, selari dengan keperluan mendepani landskap keselamatan masa hadapan yang semakin bergantung kepada teknologi moden.

“Teknologi akan menjadi asas utama dalam menentukan keupayaan pertahanan dan keselamatan sesebuah negara pada masa depan,” jelas beliau.

Walaupun konflik di Asia Barat memberi kesan kepada penyertaan beberapa pihak, termasuk Iran yang menarik diri pada saat akhir, Malaysia kekal komited menjadikan DSA sebagai platform neutral dan terbuka.

“Berbeza dengan penganjuran di negara lain, DSA menghimpunkan negara dari pelbagai blok, termasuk yang sedang berkonflik. Ini mencerminkan pendirian Malaysia sebagai negara berkecuali,” katanya.

Tahun ini, DSA & NATSEC Asia berjaya menarik penyertaan 1,456 syarikat dari 63 negara, meningkat berbanding edisi 2024.

Sebanyak 37 pavilion negara turut disediakan, dengan penyertaan terbesar dari Turkiye, China, Amerika Syarikat, UAE, India dan Korea Selatan.

Dalam usaha memperkukuh industri tempatan, sebanyak 368 syarikat Malaysia turut mengambil bahagian, selaras dasar kerajaan yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus komponen tempatan dalam perolehan pertahanan.

Antara kelainan DSA 2026 adalah pengenalan lima segmen baharu seperti Pavilion Coalition of Defence Industries Malaysia (CDIM), Fokus ancaman CBRNE, Firearms & Tactical Gear, DSA & NATSEC Asia Lab untuk startup dan inovator serta Platform perniagaan berasaskan teknologi baharu.

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan program Industrial Collaboration Programme (ICP) bernilai sekitar RM1.4 bilion, melibatkan pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan termasuk dalam bidang penyelenggaraan aset tentera laut (MRO).

Mengulas lanjut, beliau menegaskan DSA bukan sekadar pameran aset pertahanan, tetapi turut menjadi medan penting diplomasi pertahanan.

“Ia membuka ruang kepada pertemuan strategik, perkongsian pengalaman dan pengukuhan hubungan antara negara dalam mendepani cabaran keselamatan global,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia juga mengambil pendekatan realistik dalam pembangunan keupayaan pertahanan dengan memberi penekanan kepada aset yang lebih praktikal, kos efektif dan mampu dihasilkan dengan cepat, sejajar pengajaran daripada konflik semasa dunia.

DSA & NATSEC Asia 2026 dijangka mengukuhkan kedudukannya sebagai pameran pertahanan paling berpengaruh di rantau ini, sekali gus menjadi platform strategik negara dalam memacu inovasi, kerjasama dan diplomasi pertahanan.