BERTAM, 9 Jun-Langkah proaktif telah diambil bagi menangani isu bantahan pengendalian program DLP yang dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Pulau Pinang.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang telah memulakan sesi libat urus dengan pihak terlibat dan mendapat reaksi yang baik.
Tambah beliau, bagi memastikan program DLP dapat dilaksanakan dengan baik ia perlu berdasarkan kepada garis panduan dan mencapai objektifnya.
"Perlu kita tegaskan adalah garis panduan itu mesti dipatuhi sebab itu sesi libat urus itu sangat penting dan pasca isu tersebut.
"Sebenarnya JPN telah pun sekali lagi turun dan memberikan penjelasan membuat sesi libat urus dengan sekolah-sekolah. Jadi ia adalah proses yang berterusan untuk memahamkan isu garis panduan dan penegasan kita bawah dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris ia harus jalan selari sebab itu proses libat urus ini sangat penting jadi JPN sedang melakukan proses itu dan Insya- Allah kita tidak merasa perkara ini wajar diperbesar-besarkan kerana ia hanyalah soal bagaimana mematuhi garis panduan dan bagaimana kita hendak memenuhi kehendak-kehendak itu berdasarkan garis panduan", katanya kepada media selepas merasmikan Hari Keluarga Kelab Media Pulau Pinang di sini.
Sementara itu beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru yang terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran Simpang Tiga Keratong, Muadzam Shah pagi tadi.
"Ucapan takziah kepada keluarga guru-guru ini dan kita berasa sangat dukacita diatas kejadian ini.
"Di peringkat KPM kita sedang mengambil semua langkah untuk mendapatkan laporan penuh punca kejadian dan kebajikan guru-guru yang sebahagiannya berada di hospital untuk rawatan dan juga keluarga dan juga persiapan sekolah besok kerana ada sekolah-sekolah yang akan kehilangan guru jadi kita kerahkan kaunselor kita untuk turun untuk memberikan sokongan psikososial", kata Fadhlina.
Awal pagi tadi tiga termasuk seorang wanita maut selepas bas ekspres membawa rombongan terdiri daripada guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka dilaporkan terbabas dan terjunam ke bawah cerun.