KUALA LUMPUR, 13 November- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkukuh penguatkuasaan menerusi pendekatan yang lebih sistematik dan berteknologi bagi memastikan kawasan perumahan dan komersial di ibu negara bebas daripada kenderaan tersadai serta ulat parkir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata tindakan diambil secara berperingkat, bermula dengan pengeluaran notis kepada pemilik kenderaan sebelum disemak bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengenal pasti identiti pemilik.
"Proses pelupusan ini mengambil masa yang agak lama kerana ia memerlukan penelitian terperinci, termasuk pengesahan pemilik kenderaan terbabit. Jika pemilik sukar dikenal pasti, proses pelupusan tidak dapat dijalankan dengan segera. Namun, sekiranya waris dapat dikesan, tindakan dapat dipercepatkan."
"Bagi memperkemas proses ini, DBKL kini sedang menambah baik prosedur operasi standard (SOP) serta mempertimbangkan pelbagai bentuk kerjasama strategik. Antara inisiatif terbaharu ialah jalinan kerjasama dengan Authorized Automotive Treatment Facility (AATF) bagi meninjau secara langsung proses pelupusan yang dijalankan di fasiliti tersebut."
"Selain itu, DBKL turut bekerjasama dengan pengusaha besi buruk bagi membantu mengurangkan jumlah kenderaan tersadai di kawasan pentadbiran bandar raya," kata Datuk Seri Dr. Zaliha di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak(PH) , Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Tambahnya, stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) hanya akan ditempatkan di kawasan parkir pelawat, bagi mengelak gangguan kepada parkir penduduk sedia ada.
Sementara itu, DBKL juga turut memperkenalkan sistem digital sepenuhnya bagi bayaran terus melalui aplikasi mudah alih dan kod QR.
"Sebagai langkah tambahan, DBKL turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) dengan sistem pemantauan masa nyata (real-time monitoring) bagi memperkukuh pengawasan di lokasi terlibat.
Melalui pemantauan ini, sebarang masalah atau pelanggaran dapat dikesan dengan segera sekali gus membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil serta-merta dan lebih berkesan," jelas beliau.