Dana kecemasan perubatan perlu jadi keutamaan masyarakat

Gambar Hiasan /RTM

KUALA LUMPUR, 20 September – Masyarakat disaran membuat perancangan kewangan lebih awal dengan menyediakan dana kecemasan bagi menghadapi keperluan perubatan yang tidak dijangka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Masalah kesihatan tiba-tiba boleh menyebabkan tekanan kewangan apabila kos rawatan perlu dilunaskan dalam masa singkat.
  • Ramai merancang untuk pendidikan atau ubah suai rumah tetapi mengabaikan persediaan untuk isu kesihatan sehingga keliru bila berlaku.
  • Fahami had dan perlindungan polisi insurans, jenis penyakit dilindungi dan penerima manfaat; insurans tidak semestinya menanggung sepenuhnya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Amden Capital, Ranjit Singh, masalah kesihatan yang berlaku secara tiba-tiba boleh menyebabkan individu dan keluarga berhadapan dengan tekanan kewangan, terutamanya apabila kos rawatan perlu ditanggung dalam tempoh yang singkat bagi melunaskan bil prosedur rawatan yang sepatutnya.

“Masyarakat kebiasaannya membuat perancangan untuk pendidikan atau pengubahsuaian rumah, namun tiada siapa yang merancang untuk menghadapi masalah kesihatan kerana ia dianggap negatif.

“Apabila perkara ini berlaku secara tiba-tiba, mereka sering kali buntu untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di sini pada hari ini.

Katanya, perancangan kewangan yang dibuat lebih awal, termasuk amalan menyimpan dokumen perubatan, akan membantu setiap keluarga menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku kecemasan.

Selain itu, beliau menyarankan agar setiap pemegang polisi insurans memahami dengan jelas perlindungan yang disediakan termasuk had tahunan, baki perlindungan, jenis penyakit yang dilindungi, serta ahli keluarga yang layak menerima manfaat.

“Pembiayaan perubatan dan insurans adalah dua perkara berbeza. Insurans ada kekangannya dan perlindungannya ada had. Kita tak boleh mengharapkan insurans 100 peratus,” tambahnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.