
PUTRAJAYA, 21 Februari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempergiat usaha memburu ejen, orang tengah serta pelobi yang dikenal pasti menjadi dalang utama sindiket rasuah dalam agensi kerajaan.
- SPRM mempergiat operasi memburu ejen, orang tengah dan pelobi yang menjadi dalang sindiket rasuah dalam agensi kerajaan.
- Modus operandi termasuk penggunaan akaun keldai untuk memindahkan wang suapan dan menyamar transaksi rasuah.
- SPRM memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan institusi kewangan untuk menjejaki aliran wang mencurigakan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, siasatan mendapati ejen atau perantara memainkan peranan penting mengatur dan menyamarkan transaksi rasuah.
“Antara modus operandi dikesan ialah penggunaan akaun keldai, iaitu akaun bank milik individu lain yang dipinjam atau dijual bagi memindahkan wang suapan untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Pelobi pula bertindak sebagai pemberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi mendapatkan kelulusan atau melancarkan urusan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, individu yang membenarkan akaun mereka digunakan bagi tujuan rasuah turut melakukan kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan tegas.
Langkah itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang memberi amaran bahawa tiada sesiapa akan terkecuali daripada tindakan undang-undang dalam usaha membanteras rasuah.
SPRM turut komited memperkukuh kerjasama dengan agensi penguat kuasa serta institusi kewangan bagi menjejaki aliran wang mencurigakan dan mengekang penggunaan akaun keldai.