KUALA LUMPUR, 15 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan laporan sebuah portal berita mengenai penahanan lima ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis, dalam masa terdekat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi berkata laporan penahanan yang dikaitkan dengan siasatan salah guna kuasa dan penyelewengan membabitkan anak Menteri Besar Perlis itu, adalah tidak benar.
“Tidak benar (dakwaan) tu… hanya khabar angin sahaja,” katanya.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan seorang pemimpin politik kanan di negeri itu mendakwa lima ADUN Perlis bakal ditahan SPRM dalam masa terdekat.
Memetik laporan itu, ia berikutan penahanan anak kepada Menteri Besar Perlis yang ditahan suruhanjaya itu pada penghujung April lepas, atas dakwaan membuat tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan berjumlah RM600,000.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata beliau bersikap terbuka untuk pihak SPRM, membuat siasatan sekiranya terdapat keperluan.
“Khabar angin sahaja, kita terbuka, kalau ada mari siasat, tetapi saya rasa tidak adalah...setakat yang saya tahu lima orang (ADUN) itu tidak adalah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks DUN di sini hari ini.
Mohd Shukri berkata pihaknya merancang untuk menempatkan seorang Pegawai SPRM di pejabat pentadbiran negeri, yang akan diperhalusi bersama Setiausaha Kerajaan Negeri serta Pegawai Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.
“Sebab SPRM dipinjamkan saja kepada negeri, gaji mesti ditanggung negeri, terma dan syarat dah ada, garis panduan, cuma keperluan di negeri, kita akan berbincang lebih teliti sebelum kita putuskan,” katanya.
Difahamkan SPRM sedang melengkapkan kertas siasatan berkaitan kes anak Menteri Besar Perlis bersama beberapa individu lain, yang didakwa telibat mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000 sejak dua tahun lepas dan siasatan itu dijangkakan siap minggu hadapan. - BERNAMA