KOTA BHARU, 16 Februari- Murid serta pelajar di Kelantan disarankan untuk memakai pelitup muka dan membawa bekalan minuman mencukupi menjelang cuaca panas yang bakal melanda.
Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN), Mat Lazim Mohammad, berkata penggunaan pelitup muka tidak diwajibkan, namun digalakkan terutama kepada murid-murid.
Pihaknya juga berhubung rapat dengan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mengetahui status keadaan cuaca semasa.
JPN mengambil langkah bersiap siaga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta pelajar terjamin sepanjang sesi persekolahan.
"Kita dimaklumkan bahawa cuaca panas akan bermula, dan kita menggalakkan supaya anak-anak murid kita memakai pelitup muka serta membawa bekalan air yang mencukupi sepanjang sesi persekolahan.
"InsyaAllah, pihak sekolah akan memaklumkan kepada ibu bapa melalui saluran yang sudah wujud di peringkat sekolah," katanya pada sidang media selepas hadir melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail 1, Kota Bharu, sempena hari pertama pembukaan sekolah sesi 2025/2026.
Dalam perkembangan lain, Mat Lazim berkata persiapan 22 sekolah di negeri Kelantan yang terjejas akibat banjir lalu berjalan lancar, dengan semua peralatan memenuhi keperluan.
Beliau berkata, JPN berterima kasih kepada badan bukan kerajaan (NGO), agensi, dan syarikat kerana menyalurkan bantuan serta sumbangan yang bersesuaian kepada pihak sekolah.
Katanya, sumbangan itu termasuk kelengkapan sekolah untuk murid serta pelajar yang terkesan dengan banjir lalu, dan sehingga kini masih ada pihak yang menghubungi JPN untuk menyalurkan sumbangan.
Di Kelantan, sebanyak 595 buah sekolah dibuka hari ini, melibatkan 259,048 murid serta pelajar dan 28,507 orang guru.