KOTA BHARU, 28 Mac- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersiap siaga dengan lebih 1,000 anggota bagi tujuan operasi di kawasan berisiko kebakaran, susulan cuaca panas yang melanda ketika ini.
Pengarah JBPM Negeri Kelantan, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB), Zainal Madasin berkata Bachok dan Tok Bali, Pasir Puteh antara kawasan panas yang dikenalpasti berisiko berlaku kebakaran.
Katanya, kawasan yang berisiko tersebut kebanyakkannya membabitkan belukar, lalang dan hutan tanah gambut.
"Musim kemarau yang akan berlaku di kawasan-kawasan tertentu seperti Bachok dan Tok Bali. Kalau ada perkara melibatkan bencana macam monsun timur laut ke, kita ada sedia dah semua ni. Kita dah kesan kawasan-kawasan titik panas dan bersedia dengan perancangan kita," kata Zainal dalam sidang media sempena Majlis Apresiasi JBPM Negeri Kelantan Tahun 2022 di Ibu Pejabat JBPM negeri Kelantan, Tunjong, di sini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohamed dan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Kelantan, Wan Azhan Wan Hamat.
(Pengarah JBPM Negeri Kelantan, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB), Zainal Madasin berkata dalam sidang media
sempena Majlis Apresiasi JBPM Negeri Kelantan Tahun 2022)
Terdahulu beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 agensi media di Kelantan sebagai menghargai kerjasama yang diberikan dalam menyampaikan maklumat berkait JBPM dengan betul dan cepat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan kekuatan anggota dan kelengkapan logistik yang ada beliau yakin ia dapat mengurangkan risiko kebakaran pada musim kemarau di negeri itu.
Setakat Mac tahun ini, JBPM negeri Kelantan telah menerima sebanyak 275 panggilan berkait kebakaran.