fb fb fb fb fb

COVID-19: Kerajaan beri jaminan rawat penerima vaksin alami kesan sampingan

Dr Dzulkefly Ahmad

BALING, 10 Mei- Kerajaan memberi jaminan akan bertanggungjawab merawat penerima vaksin COVID-19 termasuk jenis AstraZeneca yang terbukti mengalami kesan sampingan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan memiliki semua data berkaitan penerima vaksin dan kesan sampingan selepas imunisasi (AEFI) serta kaedah untuk merawatnya.

"Apa yang kita mahukan adalah pastikan... kalau ada sesiapa terbukti 'evidence base' terkait dengan vaksin AstraZeneca, kita memang ada cara untuk pastikan mereka diberi bantuan.

"Kerajaan akan bertanggungjawab merawat mereka... itu jaminan yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bangunan Tambahan Hospital Baling dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Kepala Batas, Jitra di sini, hari ini.
 
Beliau juga yakin isu berkaitan vaksin COVID-19 tidak akan memberi kesan terhadap program vaksin lain termasuk Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP).

Dalam perkembangan lain, bangunan tambahan Hospital Baling akan mula beroperasi pada 10 Jun ini dengan kapasiti bilangan katil ditingkatkan kepada 210 katil.

Sementara itu, 16 buah katil masing-masing lapan buah di unit rawatan rapi (ICU) dan wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) serta empat dewan bedah.

Bangunan tambahan berkenaan siap dibina pada 26 Februari lalu dengan kos keseluruhan berjumlah RM124.7 juta ringgit, sekali gus menyaksikan Hospital Baling dinaik taraf kepada Hospital Pakar Minor.

Dzulkefly berkata, sembilan bidang kepakaran terlibat iaitu Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, obstetrik & Ginekologi, ortopedik, Anestesiologi & Rawatan Kritikal, Kecemasan & Trauma, Psikiatri, Radiologi dan Patologi.

"Saya baru sahaja melihat fasiliti-fasiliti yang saya kira fasiliti sangat dibanggakan. Ini sebagai penanda aras kepada model prototaip kepada fasiliti yang akan bangunkan di Kementerian Kesihatan (KKM).

"Ia akan menjadi contoh untuk kita maju dalam membina fasiliti-fasiliti KKM untuk masa hadapan nanti," katanya.

Pertambahan kemudahan dan bidang-bidang kepakaran tersebut akan mengurangkan rujukan pesakit ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar; Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan Hospital Kulim sebanyak 60 peratus.

Sementara itu, Projek Klinik Kesihatan Kepala Batas yang melibatkan kos sebanyak RM31 juta telah siap sepenuhnya pada 29 Februari lalu iaitu dua bulan lebih awal daripada jadual asal.
 
Ia akan mula beroperasi pada 26 Mei ini bagi menggantikan Klinik Kesihatan Kepala Batas yang tidak dapat lagi menampung keperluan perkhidmatan kesihatan.

SITI AISHAH MD ISA