
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW perlu diterjemah melalui penghayatan sunnah, akhlak mulia dan amalan yang dilakukan secara berterusan dalam kehidupan seharian.
- Meneladani Rasulullah mesti dizahirkan melalui amalan ikhlas dan istiqamah.
- Pastikan setiap amalan mendekatkan diri kepada Allah, memelihara kewajipan, memperbanyak kebajikan dan memberi manfaat.
- Rakyat diseru memperkukuh perpaduan serta memelihara keamanan dan kesejahteraan negeri.
- Penghargaan diberikan kepada pemimpin komuniti, sukarelawan kemanusiaan dan pengkarya Islamik sebagai pengiktirafan khidmat.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, meneladani Rasulullah SAW bukan sekadar melalui pengakuan kecintaan kepada Baginda, sebaliknya perlu dizahirkan menerusi amalan yang ikhlas dan istiqamah.
Baginda menyeru umat Islam supaya memastikan setiap amalan yang dilakukan dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, di samping memelihara kewajipan, memperbanyak kebajikan serta memberi manfaat kepada sesama insan.
Rakyat turut diseru memperkukuh perpaduan serta memelihara keamanan dan kesejahteraan negeri.
Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu 1448 Hijrah di sini.
Pada majlis tersebut, turut disampaikan Anugerah Kepimpinan Komuniti kepada pertubuhan komuniti Gong Tok Nasek Care.
Manakala, Anugerah Sukarelawan Ummah dirangkul aktivis Misi Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa, Muhd Asmawi Mukhtar @ Awang yang menerima hadiah sijil dan wang tunai RM2,000.
Sementara itu, Anugerah Pengkarya Islamik dimenangi Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi.