fb fb fb fb fb

China akui persahabatan dengan Malaysia bawa manfaat buat rakyat - TPM China

Ahmad Zahid Hamidi dan Ding Xuexiang

BEIJING, 31 Mei- China menyatakan komitmen untuk mengukuhkan dan meluaskan lagi hubungan dua hala dengan Malaysia, sekali gus membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara berkenaan.

Timbalan Perdana Menterinya, Ding Xuexiang yang mengakui perkara itu berkata, persahabatan jitu tersebut turut menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran serantau.

Katanya, jumlah pertukaran antara rakyat kedua-dua negara telah melonjak kepada 40 kali ganda sejak hubungan diplomatik terjalin.

Pihaknya turut menyokong cadangan Malaysia untuk memperkukuhkan kerjasama terbuka serta menjamin kestabilan rantaian industri dan bekalan termasuk pendidikan.

Di samping itu, China juga menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan dan bersetuju untuk bersama-sama mengekalkan kedudukan pusat ASEAN dalam rangka kerja serantau.

China sentiasa mengamalkan prinsip 'menang-menang' dan Malaysia antara negara pertama yang menyokong pembukaan serta reformasi China termasuk Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Malah republik itu telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut dengan projek utama seperti Taman Perindustrian Kedua Negara dan Projek Rel Pantai Timur (ECRL) yang menjadi simbol kerjasama berkualiti tinggi antara Kuala Lumpur-Beijing.

Xuexiang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Rumah Tamu Negara Diaoyutai di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

SITI AISHAH MD ISA