fb fb fb fb fb

Cadangan tubuh tribunal kes buli kanak-kanak dibawa ke mesyuarat Kabinet

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab pertanyaan media selepas hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto- BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 Ogos - Cadangan penubuhan tribunal berhubung kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan mengemukakan cadangan itu dalam mesyuarat Kabinet.

“Mengenai tribunal, yang itu akan dibawa ke Kabinet, kita bincang di Kabinet,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Sebelum ini, Datuk Seri Azalina dilaporkan berkata kerajaan sedang meneliti keperluan menggubal Akta Antibuli yang memberi penekanan kepada penubuhan tribunal khas bagi mendengar kes melibatkan pelajar dan kanak-kanak.

Menurutnya, ketika ini tiada definisi khusus atau hukuman yang jelas berkaitan kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

Beliau menjelaskan istilah buli tidak dinyatakan secara khusus dalam Kanun Keseksaan, namun pindaan dengan memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G telah dilaksanakan.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN