BANGI, 6 November- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan agar bahasa kolokial dan dialek dijadikan sebahagian sukatan pengajian kebangsaan di institusi pengajian tinggi.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata cadangan itu boleh dilaksana menerusi kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Itu memang hasrat kita. Apabila kita sudah mengumpul maklumat mengenai pelbagai bahasa, langkah seterusnya adalah untuk institusi pengajian tinggi jadikan ia sebagai satu sukatan pelajaran," katanya selepas merasmikan Konvensyen Kebangsaan Bahasa Kolokial: Melestarikan Keberdayaan Bahasa Komuniti 2024.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KPN, Mohamad Sobri Mat Daud dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman.
Aaron turut memaklumkan, program pendidikan seperti puisi dan penceritaan dalam bahasa kolokial dapat membantu pelajar lebih menghargai warisan bahasa.