
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Masyarakat diingatkan agar tidak terperangkap dengan manipulasi maklumat yang dijana oleh kecerdasan buatan (AI) memandangkan teknologi tersebut kini menjadi ‘senjata’ utama dalam penyebaran berita palsu secara pantas dan berskala besar.
- Ketiadaan budaya semak fakta mempercepat pembentukan persepsi salah dan menyukarkan pembetulan maklumat palsu.
- Kes kandungan palsu melonjak dramatik; tindakan kementerian termasuk penurunan berpuluh ribu kandungan dan pembukaan siasatan.
- Industri media mesti utamakan ketepatan dan kukuhkan integriti agar kekal rujukan dipercayai dalam lautan maklumat dimanipulasi.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata kepantasan AI menghasilkan kandungan palsu termasuk ‘deepfake’ dan penyamaran identiti tokoh masyarakat telah mencetuskan persepsi negatif yang sukar diubah jika tidak ditangkis pada peringkat awal.
“Ketiadaan budaya semak fakta memburukkan lagi keadaan kerana pandangan terhadap sesuatu isu dibentuk dengan terlalu cepat berdasarkan pembacaan di media sosial. Apabila persepsi telah terbentuk daripada maklumat yang salah, ia amat sukar untuk diperbetulkan semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Media HAWANA 2026 bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini.
Teo mendedahkan statistik mengejutkan apabila kes kandungan palsu melonjak daripada hanya 6,297 kes pada 2023 kepada 98,503 kes pada tahun lalu.
Bagi tahun 2026, trend ini kekal membimbangkan dengan 60,829 kandungan telah diturunkan daripada platform digital setakat 30 April lalu.
“Bagi menangani ancaman ini secara agresif, kementerian telah mengambil langkah tegas dengan menurunkan sebanyak 312 daripada 464 kandungan palsu berkaitan krisis bekalan global dalam tempoh sebulan lalu. Selain itu, 65 kertas siasatan telah dibuka dengan 15 kes sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Menurut beliau, walaupun media sosial menuntut kepantasan, industri media arus perdana perlu kekal menjadikan ketepatan sebagai keutamaan bagi menjaga kepercayaan awam.
“Integriti media bukan lagi satu idealisme, tetapi satu keperluan mutlak. Organisasi media harus memperkukuh kredibiliti mereka agar menjadi rujukan utama masyarakat yang mencari kebenaran di tengah-tengah lambakan maklumat yang dimanipulasi,” tegasnya.