fb fb fb fb fb

Bot nelayan warga asing ditahan Maritim Perak

Foto FB Maritim

LUMUT, 23 Disember- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C  bersama empat nelayan warga asing di kedudukan 13 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak, Perak petang Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup menerusi kenyataan memaklumkan, semasa melaksanakan rondaan rutin menerusi Op Sayong, Op Tanjung dan Op Tiris di perairan Perak, pihaknya menerima maklumat daripada Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut dan Pusat Operasi Maritim Negeri Perak, bagi mengesan sebuah bot yang mencurigakan sedang melakukan aktiviti perikanan. 

Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong warga Thailand bersama tiga kru warga Myanmar dan Kemboja berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran.

Penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan surat kelulusan penggunaan peralatan komunikasi serta kru tidak mempunyai dokuman pengenalan diri yang sah.

Kesemua nelayan ditahan manakala bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan, dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana tidak mempunyai kelulusan penggunaaan radar dan peranti serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM