
RAUB, 13 Jun – Seorang wanita berusia 43 tahun cedera dan disyaki patah kaki ketika menyertai aktiviti pendakian di Bukit Fraser di sini, tengah hari tadi.
- Mangsa menyertai aktiviti pendakian bersama 20 peserta dan tiga pemandu arah.
- Pasukan bomba tiba di kaki bukit pada 1.40 petang dan mendaki kira-kira 2.7 kilometer ke lokasi.
- Operasi melibatkan 10 anggota bomba, FRT, EMRS, LOV dan bantuan Malim Gunung Mohammad Karim Leman.
Mangsa, Salina Zainal Abidin, dilaporkan menyertai aktiviti mendaki bersama 20 peserta lain serta tiga pemandu arah sebelum kejadian berlaku.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menerima panggilan kecemasan pada jam 12.13 tengah hari sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Raub ke lokasi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Salahudin Isa, pasukan bomba tiba di kaki bukit pada jam 1.40 petang sebelum operasi menyelamat dimulakan dengan mendaki sejauh kira-kira 2.7 kilometer ke lokasi mangsa.
“Seramai enam anggota bomba bersama seorang Malim Gunung terpaksa berjalan kaki ke lokasi kejadian disebabkan keadaan laluan yang mencabar.
Beliau berkata, anggaran masa untuk sampai ke lokasi kejadian adalah antara dua hingga tiga jam bergantung kepada keadaan laluan,” katanya.
Operasi menyelamat turut melibatkan 10 anggota bomba dengan penggunaan sebuah jentera bomba Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan Perkhidmatan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah kenderaan operasi ringan (LOV).
Turut membantu operasi ialah Malim Gunung Pahang, Mohammad Karim Leman.