
SHAH ALAM, 3 APRIL – Tiga pendekatan utama perlu dilaksana sebagai usaha mengekang penyebaran berita palsu, iaitu membabitkan pendidikan literasi media, penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta penyampaian maklumat rasmi yang pantas.
- Penyebaran berita palsu boleh mencetus panik, kemarahan serta menghakis kepercayaan orang awam terhadap institusi.
- Isu sensitif seperti harga minyak, tarif elektrik dan bantuan kerajaan mudah mempengaruhi emosi dan tindakan rakyat.
- Masyarakat perlu menilai sumber, memeriksa kesahihan dan memahami konteks sebelum berkongsi maklumat.
- Penguatkuasaan undang-undang mesti konsisten dan agensi kerajaan perlu menyampaikan maklumat rasmi dengan lebih pantas.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ima Liana Esa berkata penyebaran berita palsu yang berleluasa boleh mencetuskan panik, kemarahan serta menghakis kepercayaan orang awam terhadap institusi negara.
Lebih membimbangkan apabila ia melibatkan isu sensitif seperti harga minyak, tarif elektrik dan bantuan kerajaan yang boleh mempengaruhi emosi serta tindakan rakyat.
“Masyarakat hari ini bukan sahaja perlu tahu membaca berita tetapi juga perlu tahu menilai sumber dan juga memeriksa kesahihan dan memahami konteks itu sebelum mereka berkongsi.
Kedua penguatkuasaan undang-undang itu perlu konsisten. Mereka yang sengaja mencipta dan menyebarkan berita palsu khususnya yang boleh mengugat ketenteraman awam perlu dikenakan tindakan tegas supaya menjadi pengajaran kepada pihak yang lain.
Ketiga agensi kerajaan dan pihak berkuasa mesti bertindak lebih pantas dalam menyalurkan maklumat rasmi. Dalam era digital ini jika maklumat benar itu lambat sampai, maklumat palsu yang akan sampai dahulu,” katanya ketika dihubungi RTM.
Dr Ima menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyeru rakyat supaya sentiasa menyaring berita dan mencari fakta yang betul, susulan peningkatan penyebaran maklumat palsu berkaitan harga minyak, barangan dan dasar kerajaan.
Justeru, beliau meminta orang ramai agar menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi bagi mengelakkan kekeliruan dan kesan negatif kepada masyarakat dan negara.