JOHOR BAHRU, 11 November – Belanjawan Johor 2026 dijangka memberi suntikan baharu kepada golongan pemandu pelancong, sejajar usaha kerajaan negeri memperkasa ekosistem pelancongan dan persiapan menghadapi Tahun Melawat Johor 2026.
- Belanjawan Johor 2026 dijangka memberi sokongan khas kepada pemandu pelancong bagi memperkasa industri pelancongan negeri.
- Pemandu pelancong diiktiraf sebagai duta budaya, penjaga keselamatan dan penerjemah warisan masyarakat.
- Peranan pemandu lebih daripada penceritaan; mereka menghubungkan pelancong dengan sejarah dan budaya Johor.
- Persidangan Pemandu-Pemandu Pelancong Asia Tenggara 2025 jadi platform perkongsian ilmu dan amalan terbaik serantau.
- Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan rangkaian profesional menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pemandu pelancong memainkan peranan penting dan menjadi jambatan kepada para pelancong dalam memahami sejarah dan budaya bangsa.
“Pemandu pelancong bukan sekadar pencerita sahaja. Mereka adalah duta budaya, penjaga keselamatan, dan penerjemah warisan.
“Mereka menghidupkan sejarah, menghubungkan budaya, serta memastikan setiap pelancong pulang bukan sahaja dengan kenangan, tetapi juga pemahaman”, katanya ketika berucap pada Persidangan Pemandu-Pemandu Pelancong Asia Tenggara 2025 kali kedua, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada Selasa.
Persidangan selama tiga hari itu menjadi platform strategik kepada pemandu pelancong tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi pengetahuan, mempelajari amalan terbaik rakan serantau, serta memperluas rangkaian profesional sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan pelancongan Johor.