Belanjawan 2026 perkukuh industri kreatif hasilkan karya berkualiti.

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yakin industri kreatif negara akan terus berkembang maju susulan suntikan dana menerusi Belanjawan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM110 juta sebagai insentif kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa.
  • RM10 juta dikhususkan untuk kandungan berteraskan semangat kenegaraan.
  • Melengkapkan inisiatif seperti Dana Kandungan Kreatif (DKK) dan FIMI.
  • Menarik pelaburan tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memperkukuh reputasi penerbitan filem.
  • Menekankan pembangunan ekosistem kandungan mampan, pengukuhan bakat dan fasiliti bertaraf antarabangsa.

Menurut kenyataan FINAS, sebanyak RM110 juta diperuntukkan kerajaan sebagai insentif kepada penerbit filem tempatan dan antarabangsa dalam usaha menggalakkan penerbitan karya berkualiti tinggi di Malaysia.

Daripada jumlah itu, RM10 juta dikhususkan untuk penerbitan kandungan berteraskan semangat kenegaraan sebagai langkah memperkukuh jati diri nasional melalui medium kreatif.

Peruntukan tersebut melengkapi usaha berterusan agensi itu dalam melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Dana Kandungan Kreatif (DKK) dan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI).

“Kedua-dua skim tersebut terbukti berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab penerbitan filem serantau,” menurut kenyataan itu.

Seiring pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) 2025–2035, FINAS menekankan pembangunan ekosistem kandungan yang mampan dan kompetitif melalui pengukuhan bakat, fasiliti produksi bertaraf antarabangsa serta dasar yang menyokong pertumbuhan industri kreatif tanah air.

FINAS turut menegaskan komitmen untuk merakyatkan industri kreatif sebagai sektor dinamik, inklusif dan diiktiraf di peringkat global, selaras dengan usaha mencerminkan kepelbagaian budaya, memacu pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh perpaduan negara.