fb fb fb fb fb

Belanjawan 2025: RM560 juta disediakan, perkasa sempadan negara

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Sejumlah RM560 juta disediakan kerajaan untuk memperkasa sempadan negara dalam Belanjawan 2025.

Pemerkasaan itu termasuk pembinaan baharu dan menaik taraf ICQS di Rantau Panjang, Kelantan dan Bukit Berapit, Perak serta membina dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah.

Selain itu, membekalkan badan penguat kuasa dengan teknologi dron dan AI untuk meningkatkan capaian kawasan boleh diawasi.

"Aset-aset perairan akan ditambah dan diselenggara. Ini merangkumi perolehan baharu di bawah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia," kata Anwar di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, hampir RM1 bilion diperuntuk bagi penyediaan prasarana asas serba lengkap meliputi pembangunan pekan-pekan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Thailand.

"Ini termasuklah pembinaan jambatan Rantau Panjang ke Golok dan Pengkalan Kubor ke Tumpat dengan kos lebih RM50 juta," jelas Anwar.

RM5 juta turut disediakan bagi membekalkan air bersih secara hibrid, di kawasan ESS Zone.

Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia telah ditubuhkan bagi meningkatkan pengurusan keluar masuk sempadan.

"Sebanyak 63 negara telah menggunakan sistem pagar automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur," ujar Anwar.

Datuk Seri Anwar turut mengumumkan dana RM20 juta untuk terus memperkasa kawalan pintu masuk negara.

"Kaedah kod QR telah digunakan bagi memeriksa penumpang bas dan pengguna motosikal di pintu masuk utama selatan tanah air dan ini memendekkan masa pemeriksaan sehingga 40 peratus," tambah Anwar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM