KUALA LUMPUR, 21 Oktober - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan memanfaatkan peruntukan RM380 juta yang disediakan menerusi Belanjawan 2025 dengan menumpukan dan menambah baik aspek pendidikan serta pembangunan ekonomi masyarakat berkenaan.
Ketua Pengarahnya Datuk Sapiah Mohd Nor berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan lebih menyeluruh bagi menjayakan inisiatif tersebut.
“Daripada pihak JAKOA, kita sangat gembira dengan peningkatan RM50 juta...dulu RM330 juta sekarang RM380 juta.
“Perbelanjaan itu untuk pembangunan, jadi dengan pertambahan (peruntukan) itu kita akan buat perancangan yang sangat baik di peringkat kementerian dan kita akan tengok balik di mana kita akan salurkan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah JAKOA Bersama Mahasiswa Orang Asli di sini hari ini.
Nasib masyarakat Orang Asli terus terbela di bawah Belanjawan 2025 MADANI apabila menerima tambahan peruntukan hampir RM380 juta berbanding RM330 juta sebelum ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas berkata peruntukan itu termasuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli melalui projek pembangunan semula ladang Orang Asli seluruh negara.
Selain itu, sejumlah RM10 juta turut disediakan untuk badan bukan kerajaan (NGO) dan JAKOA bekerjasama membina rumah di bawah program EPIC Homes yang dapat membekal elektrik serta air bersih kepada Orang Asli dengan lebih jimat dan pantas.
Sapiah berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan NGO berkaitan bagi pembinaan rumah di bawah program EPIC Homes itu, yang dijangka melibatkan 40 perkampungan Orang Asli di seluruh negara.- BERNAMA