IPOH, 8 Jun- Kerajaan menyarankan kepada industri agar memberi galakan kepada pekerja untuk bekerja sambil menyambung pengajian dalam meningkatkan tenaga kerja mahir di negara ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata langkah itu bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing berkemahiran rendah.
"Banyak negara-negara industri termasuk Jerman, Belanda dan Amerika Syarikat berjaya dalam program TVET. Ini kerana syarikat yang mengeluarkan dana untuk pelajar bekerja sambil belajar."
"Mungkin dua hari mereka bekerja, tiga hari pula belajar atau belajar dua minggu dan kerja beberapa minggu. Maka, mereka dapat meningkatkan tenaga mahir untuk diri masing-masing," kata Liew kepada pemberita pada Program Perdana Kesedaran E-Invoicing dan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030 Kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), di sini.
Tambah beliau, kerajaan ketika ini memberi tumpuan untuk menjayakan lebih banyak program TVET bagi melahirkan lebih banyak jurutera dalam sektor semikonduktor.