fb fb fb fb fb

Bekas banduan ditangkap semula curi kenderaan

KUALA LUMPUR, 7 Jun- Seorang bekas banduan yang bebas dari penjara enam bulan lalu atas kesalahan mencuri kenderaan, ditahan semula Ahad lepas disyaki terlibat kesalahan sama.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki warga tempatan berusia 46 tahun itu diberkas di kawasan perumahan Flat Sri Sabah, Cheras kerana dipercayai terlibat kes curi lapan kenderaan di sekitar Cheras.

Jelas beliau, suspek sebelum ini pernah dipenjarakan di Penjara Kajang dan dibebaskan pada Januari lalu.

"Susulan tangkapan ini, pihak polis berjaya mengesan dan merampas empat buah kenderaan jenis Proton Iswara, dua buah motokar jenis Proton saga, sebuah motokar jenis Nissan Bennet dan satu motokar jenis Proton Wira.

Suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah serta dipercayai aktif mencuri kenderaan di beberapa kawasan termasuk Cheras, Pudu, Sri Petaling dan Teluk Intan, Perak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

(ACP Muhammad Idzam ketika sidang media di IPD Cheras di sini)

Tambah beliau, suspek kini direman empat hari bermula semalam hingga 9 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Ujian air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan trend kecurian kenderaan didapati tinggi sejak Januari hingga Mei lepas membabitkan keseluruhan 167 kenderaan yang dicuri.

Seramai 20 individu yang disyaki terlibat kegiatan tersebut telah ditangkap dan dituduh.

Media Baharu