JOHOR BAHRU, 7 April - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor memberi jaminan bekalan barangan makanan terkawal mencukupi sepanjang Hari Raya Aidilfitri ini.
Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat berkaitan kekurangan bekalan.
Namun begitu masyarakat boleh membuat aduan sekiranya terdapat kekurangan di satu-satu tempat.
"Sekiranya semua bangsa Johor dimana ada tempat-tempat kurang daripada segi barang kawalan dan sebagainya sila maklumkan kepada kita, kita akan gerakkan pasukan untuk untuk siasatan dan pemeriksaan. Pemeriksaan tetap berjalan setiap hari dan daripada itu pegawai pemantauan harga pun kita gerakkan," kata Lilis Saslinda kepada media semasa menghadiri sesi Walkabout Jualan Rahmah di Tapak Pasar Tani, Taman Mutiara Rini, di sini.
Seramai 200 anggota akan ditugaskan untuk memantau di seluruh Johor bagi mengelakkan berlaku ketirisan bekalan, kegagalan meletakkan tanda harga dan kesalahan lain-lain.
Sementara itu, sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan KPDN Johor mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 atas kesalahan gagal mempamerkan tanda harga di kawasan bazar serta premis-premis awam sepanjang bulan Ramadan.
Operasi pemantauan ini akan diteruskan dari masa ke masa dan KPDN Johor menyeru masyarakat untuk membuat pilihan bijak serta segera adukan sekiranya terdapat sebarang keraguan melibatkan barangan jualan mahupun peniaga.