fb fb fb fb fb

Bayi tiga bulan antara peserta Program Berkhatan Perdana di Sungai Petani

Foto RTM

SUNGAI PETANI, 23 Disember - Bayi berusia tiga bulan antara 120 orang kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Perdana anjuran sebuah syarikat stesen minyak di sini hari ini.

Antara peserta yang mencuri tumpuan ialah Muhamad Hilya Shafi yang dikhatankan pada usia tiga bulan menggunakan kaedah laser oleh Dr. Zulkifli Kadir.

Bayi berkenaan merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

Ibunya, Norhidayah Sabit, 41, berkata keputusan mengkhatankan anaknya ketika bayi dilakukan berdasarkan pengalaman mengkhatankan anak sulungnya sebelum ini.

“Abang dia dulu pun dikhatankan waktu kecil dan saya rasa lebih mudah dari segi penjagaan kerana bayi hanya minum susu dan tidak perlu menjaga pantang pemakanan,” katanya ketika ditemui RTM.

Kesemua kanak-kanak terbabit dibawa untuk mandi manda di kolam terlebih dahulu sebelum dibawa ke bilik khas untuk dikhatankan.

Tambah menarik, setiap peserta turut menerima hadiah berupa kereta kawalan jauh dan wang tunai.

Sementara itu, penganjur program, Zurina Hashim berkata Program Khatan Perdana itu dianjurkan dua kali setahun, bersempena dengan cuti sekolah bagi memberi peluang kepada lebih ramai ibu bapa menyertai program berkenaan.

" Setakat ini kita adakan program ini sebanyak dua kali setiap tahun. Seperti tahun ini, kita buat bulan Januari dan Disember", katanya.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad serta Penasihat Program dan Aktiviti KEDA Parlimen Sungai Petani, Dato’ Shahanim Mohd Yusof yang menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak terlibat.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Zulkifly berkata, program berkhatan secara beramai-ramai mampu memupuk semangat muafakat dan sokongan komuniti terhadap kanak-kanak yang melalui fasa penting dalam kehidupan mereka.

“Program ini dapat memupuk semangat muafakat dalam kalangan masyarakat apabila ibu bapa, datuk nenek serta ahli keluarga hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada anak-anak.

"Berkhatan merupakan satu kewajipan dan apabila dilaksanakan secara bersama atau berjemaah, ia menjadi lebih bermakna. Sokongan yang diberikan, sama ada melalui kehadiran, galakan mahupun saguhati, jelas menunjukkan keprihatinan kita dalam membantu anak-anak melalui proses menuju alam kedewasaan", ujar beliau

Menurutnya, sokongan daripada keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak menempuh alam kedewasaan dengan lebih yakin.

Program Khatan Perdana itu bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa, malah memperkukuh semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat setempat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD