
IPOH, 12 Jun – Penebusan Baucar Buku MADANI 2026 dijangka mula dilaksanakan pada Julai ini secara digital, membolehkan lebih dua juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mendapatkan bahan bacaan dengan lebih mudah dan telus.
- Melibatkan pelajar Tingkatan 1 hingga 6, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru dengan peruntukan keseluruhan RM210 juta.
- Penebusan dibuat dalam talian melalui platform Perbadanan Kota Buku untuk memastikan ketelusan dan mengelakkan penyalahgunaan baucar.
- Inisiatif diharap menggalakkan budaya membaca serta memberi peluang pelajar memilih bahan bacaan sesuai bagi meningkatkan pengetahuan dan pembelajaran.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata inisiatif itu melibatkan pelajar daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan peruntukan keseluruhan RM210 juta.
Menurut beliau, penebusan akan dibuat secara dalam talian menerusi platform yang dikendalikan Perbadanan Kota Buku bagi memastikan ketelusan pelaksanaan serta mengelakkan penyalahgunaan baucar.
“Dengan pelaksanaan ini, kita dapat memastikan ketelusan pembelian pada tahap 100 peratus dan sifar peratus ketirisan. Kita tidak mahu perkara ini berlaku.
“Oleh itu, KPM pada tahun 2024 telah melaksanakan baucar buku ini secara digital dan dalam talian.
“Kebaikannya bukan sahaja dinikmati oleh sekolah-sekolah seperti SMJK (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan) Ave Maria di kawasan bandar, tetapi juga di kawasan luar bandar dan pedalaman, di mana buku-buku dapat dibeli serta sampai kepada anak-anak kita,” katanya
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Ke-69 di SMJK Ave Maria Convent, Ipoh.
KPM berharap inisiatif itu dapat menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar di samping memberi peluang kepada mereka memilih bahan bacaan yang bersesuaian bagi meningkatkan pengetahuan dan pembelajaran.