
PUTRAJAYA, 12 Jun – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 11 Julai 2026 sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 bagi negeri Johor dan 1 Ogos 2026 bagi Negeri Sembilan.
- Hari penamaan calon Johor ditetapkan pada 27 Jun; pengundian awal pada 7 Julai.
- Hari penamaan calon Negeri Sembilan ditetapkan pada 18 Julai; pengundian awal pada 28 Julai.
- PRN diadakan bagi mengisi kekosongan 56 kerusi DUN Johor dan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
- SPR lantik Pegawai Pengurus, Penolong dan tubuhkan PP-KPR: Johor 56 pengurus 187 penolong 56 pasukan; Negeri Sembilan 8 pengurus 95 penolong 36 pasukan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon bagi Johor ditetapkan pada 27 Jun ini manakala hari mengundi awal pada 7 Julai depan.
Beliau berkata, bagi PRN Negeri Sembilan, hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai manakala hari mengundi awal pada 28 Julai.
“SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan PRN Johor Ke-16 dan Negeri Sembilan Ke-16 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 56 kerusi Dewan Negeri (DUN) Johor dan 36 kerusi DUN Negeri Sembilan tersebut.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 27 Jun (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 10 Julai (Jumaat) bagi PRN Johor.
“Manakala bagi urusan PRN Negeri Sembilan ditetapkan mulai pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 18 Julai (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 31 Julai (Jumaat),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Urusan PRN Johor dan Negeri Sembilan ke-16 di Menara SPR di sini, hari ini.
Datuk Seri Ramlan berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRN Johor telah dibuka bermula dari 5 Jun lepas.
“Manakala tarikh tutup permohonan bagi kategori 1A pada 24 Jun, manakala kategori 1B dan 1C masing-masing pada 19 Jun,” katanya lagi.
Beliau berkata, bagi menjalankan proses PRN Johor, SPR telah melantik seramai 56 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 187 Penolong Pegawai Pengurus.
Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai wakil-wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
“Sementara itu bagi menjalankan proses PRN Negeri Sembilan pula, SPR telah melantik lapan Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu 95 Penolong Pegawai Pengurus.
“Manakala bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 36 PP-KPR yang turut dianggotai wakil-wakil PDRM, PBT dan dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya lagi.