KUALA LUMPUR, 20 Februari- Malaysia-China terus perkukuh jalinan kerjasama dalam sektor pelancongan.
Ia menerusi kerjasama strategik antara Jiangsu Topview dan Batik Air, yang turut mempererat ikatan antara Malaysia dengan negara republik itu.
Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) antara Jiangsu TopView Cultural Tourism Industry Development Co. Ltd. dan Batik Air disaksikan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing di kementeriannya pagi tadi.
Menurut Datuk Seri Tiong, perjanjian merangkumi empat laluan iaitu Nanning ke Kuala Lumpur, Shanghai ke Tawau, Chengdu ke Tawau, dan Shenzhen ke Tawau itu; secara tidak langsung memperluas penerbangan sewa di laluan China.
Antara lain turut membuka jalan ke arah kebanjiran pelancong China ke negara ini, sejajar usaha memperkukuh hubungan pelancongan serta mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancong dari China.
Peluasan laluan yang bermula pada 23 Januari 2024 dan akan berterusan sehingga akhir Mac 2024 dibina berdasarkan piagam sedia ada dimulakan oleh Jiangsu Topview bagi menampung musim cuti Tahun Baharu Cina dan perayaan musim bunga.