GEORGE TOWN, 10 Oktober - Rakyat menarik nafas lega apabila kerajaan mengumumkan pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, bermula pertengahan Februari depan.
Berita baik itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026, sebagai usaha berterusan kerajaan meringankan beban rakyat menjelang Ramadan dan Tahun Baharu Cina.
Bantuan tersebut bukan sahaja membantu isi rumah berpendapatan rendah, malah turut memberi manfaat kepada golongan bujang dan penuntut universiti.
Seorang pelajar universiti, Nur Fatiyah Nordin, berkata bantuan itu amat membantu pelajar sepertinya dalam menampung keperluan harian.
“Sebagai seorang pelajar, bantuan SARA sangat membantu. Contohnya boleh guna untuk beli barang keperluan asas. Nak masuk semester baharu pun memang perlukan belanja tambahan. Walaupun tak banyak, tapi Alhamdulillah sangat membantu,” katanya.
Nur Fatiyah Nordin, pelajar
Bagi pekerja swasta, Nurul Hidayah Farhana Azahar, bantuan berkenaan memberi kelegaan terutama kepada mereka yang masih bujang.
“Rasa bersyukur sangat, sebab ingat dapat sekali beri saja, tiba-tiba dapat lagi RM100 ni memang berbaloi. Sekurang-kurangnya boleh tampung perbelanjaan dapur macam roti, telur dan sebagainya,” ujarnya.
Nurul Hidayah Farhana Azahar, pekerja swasta
Seorang lagi pekerja swasta, Che Intan Che Dan, turut menyambut baik langkah itu.
“Okeylah, boleh tambah barang nak beli. Saya dah guna pun, seronok dapat bantuan macam ni,” katanya sambil tersenyum.
Kerajaan berharap pemberian semula bantuan berkenaan dapat membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup dengan lebih tenang dan sejahtera.
