
KUALA LUMPUR, 10 April – Bank Dunia mengesyorkan kerajaan Malaysia melaraskan semula harga petrol RON95 bersubsidi daripada RM1.99 seliter kepada RM2.05 seliter.
- Bank Dunia mencadangkan pelarasan harga RON95 untuk mengurangkan beban subsidi dan menstabilkan fiskal.
- Konflik di Asia Barat menaikkan harga minyak global, menyebabkan kos subsidi kerajaan meningkat ketara.
- Ketua Ahli Ekonomi memuji kuota bahan api seperti BUDI95 kerana melindungi permintaan domestik.
- Mengekalkan harga subsidi sekarang akan menimbulkan cabaran dan tekanan fiskal; pelarasan dasar mungkin tidak dapat dielakkan.
Langkah itu penting bagi mengurangkan beban subsidi akibat krisis tenaga berikutan konflik di Asia Barat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi menyambut baik penetapan kuota bahan api menerusi mekanisme seperti BUDI95 mengambil kira keberkesanannya dalam melindungi permintaan domestik.
Bagaimanapun, pengekalan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter akan menimbulkan cabaran, terutama jika dikekalkan dalam tempoh yang lama, kerajaan akan berdepan tekanan fiskal yang ketara.
“Sampai bila kerajaan mampu terus melindungi permintaan daripada kesan sebenar harga pasaran? Persoalan itu masih tiada jawapan yang jelas buat masa ini. Namun, sekiranya keadaan fiskal terus merosot, pelarasan dasar menjadi sesuatu yang hampir tidak dapat dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat mengenai laporan Pemantauan Perekonomian Malaysia (MEM) bagi bulan April 2026 pada Khamis.
Konflik di Asia Barat mengakibatkan harga minyak mentah melebihi unjuran AS$65 setong seperti ditetapkan dalam Belanjawan 2026.
Lonjakan harga minyak global itu menyebabkan kos subsidi kerajaan meningkat ketara.
Subsidi petrol kini mencecah sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel meningkat kepada RM1.2 bilion sebulan berbanding hanya RM700 juta sebelum ini.